KOBAT FM ONLINE

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

JOM JOIN FACE BOOK SAYA

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, December 30, 2009

SELAMAT TAHUN BARU SEMUA, TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN ANDA

TERIMA kasih kepada semua pengunjung blog saya ini yang memberikan semangat kepada saya untuk terus menulis di blog yang tidak seberapanya ini. Walau pun blog saya ini masih mentah tetapi atas sokongan semua, blog ini telah pun mencapai sasaran saya mulai Jul 09 iaitu 500 pengunjung sebelum akhir tahun 2009. Teruskan menyokong kami di Manis FM. SELAMAT TAHUN BARU BUAT SEMUA.

BERSAMA DJ AYU


Pagi nanti 31 Dis 09 mulai jam 10 pagi hingga 2 ptg, saya mengakhiri tugasan tahun 2009 bersama DJ Ayu. DJ Ira berpeluang berehat hari ini. Teruskan bersama Manis FM.

Tuesday, December 29, 2009

SEKARANG BERSAMA DJ IRA...SEMESTINYA SEGMEN DANGDUT!!


Sekarang saya kembali bersama DJ Ira mulai jam 10 pagi hingga 2 ptg nanti. Semestinya segmen dangdut mulai jam 1110 selepas berita ditunggu ramai. Terima kasih di atas sokongan anda bersama Manis FM. Luahkan pandangan dan pendapat anda tentang tugasan kami.

Monday, December 28, 2009

INGATKAH ANDA LAGI DENGAN DJ DAN PENGACARA AINOL JAMAL ZAINAL?


Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada semua pendengar setia Manis FM yang terus bersama Manis FM yang bersiaran 24 jam. Petang semalam sehingga tengah mlm tadi saya telah menamatkan tugas menggantikan DJ Uncle Wan PCJ yang bercuti. Hari ini saya masih menggantikan tempat beliau dan esok kembali semula di sebelah pagi seperti biasa jam 10 pagi bersama DJ Ira Fatiran.

Saya ingin berkongsi dengan anda sedikit maklumat. Kenalkah anda dengan wajah DJ radio di atas? Beliau adalah Ainol Jamal Zainal yang dahulunya seorang DJ popular radio RTM seterusnya menjadi DJ di Radio Selangor. Kemudiannya, Ainol Jamal menjadi host sebuah rancangan hiburan TV di RTM. Mungkin anda masih mengingatinya.

Ainol Jamal ini adalah sepupu kepada saya yang mana ibu beliau adalah kakak kepada bapa saya. Beliau berasal dari Jelebu, N. Sembilan yang mana rumahnya hanya 3 KM dari rumah saya. Beliau banyak membantu saya mencurahkan pengalamannya selaku DJ. Beliau juga seorang pencipta lagu dan penulis lirik terkenal dengan menggunakan nama AZIDA NS dan NURAIN. Salah satu lagu terkenal ciptaannya adalah `Tika dan Seketika' nyanyian kumpulan Medicine. Banyak lagi lagu2 ciptaan beliau yang popular suatu ketika dahulu.

Sunday, December 27, 2009

MULA BERTUGAS PETANG GANTI DJ UNCLE WAN PCJ



Petang ini 28 Dis 09 sehingga 29 Dis 09, mulai jam 7 petang hingga 12 mlm saya ditugaskan untuk menggantikan DJ Uncle Wan PCJ yang bercuti. Selamat bercuti buat DJ Uncle Wan. Semoga anda semua terus setia bersama Manis FM.

Saturday, December 26, 2009

UNCLE WAN PCJ PULA AKAN BERCUTI ? SIAPA GANTI ?

Pagi ini saya akan digandingkan kembali bersama DJ Ira mulai jam 10 pagi hingga 2 ptg. Setelah saya tamat bercuti, dikhabarkan Uncle Wan PCJ pula akan bercuti mulai 28hb Dis sehingga 29hb Dis ini. Samada saya atau DJ Iwan Slumber akan mengambil alih tugas beliau belum diputuskan lagi. Apa pun, selamat bercuti buat Uncle Wan PCJ. Teruskan bersama Manis FM.

Friday, December 25, 2009

MASUK BERTUGAS SEMULA

Pagi ini bersama DJ Ayu mulai jam 10 pagi hingga 2 ptg, saya kembali bertugas semula setelah bercuti rehat. Esok kembali semula bersama DJ Ira mulai jam yang sama. Selamat setia bersama Manis FM.

Friday, December 18, 2009

DJ ZEK BERCUTI SELEPAS MENGGANTIKAN DJ AIMAN

Baru sebentar tadi saya selesai menjalankan tugas di konti mulai jam 1200AM hingga 0600 AM pada 19 Dis 09. Saya menggantikan DJ Aiman yang kurang sihat. Selepas ini, InsyaAllah, saya akan mula bercuti sehingga 23 Dis 09. Teruskan bersama Manis FM.

Wednesday, December 16, 2009

DJ IZA CUTI SAKIT, DJ ZEK GANTI TGH MLM INI

Sebelum itu, petang tadi saya seperti biasa bersama DJ Ira mulai jam 10 pagi hingga 2 Ptg. Petang tadi juga DJ-DJ Manis FM meluangkan sedikit masa untuk bergambar untuk dimasukkan ke dalam website Manis FM. DJ Ira saja entah berapa kali ber`posing' bagaikan artis tersohor. Biasalah perempuan kan......

Untuk makluman semua, malam ini sepatutnya DJ Iza akan mengendalikan segmen `Non Stop Entertainment', tetapi beliau mendapat cuti sakit dua hari. Maka, saya ditugaskan untuk menggantikan tempat beliau tengah malam nanti. Mudah-mudahan DJ Iza cepat sembuh. Terus bersama Manis FM.

Tuesday, December 15, 2009

DANGDUT - AAHH..AHH..MALUNYA AKU

Segmen dangdut pagi tadi bersama DJ Ira mulai jam 11 pagi hingga 12 tghari boleh lah tahan. Dalam aircond di konti berpeluh juga saya melayani kerancakan DJ Ira. Walaupun pernah bertugas di dalam tentera, terasa segan juga maklumlah tak biasa berceloteh bersama wanita apatah lagi dengan DJ yang berpengalaman. Tahniah, DJ Ira kerana berupaya menghidupkan suasana. Ku perlukan bimbingan mu serta rakan2 setugas yang lain. Ermmmm...terasa rindu gak dengan Wok Yeh.....

Monday, December 14, 2009

SELESAI GANTI DJ AMIEY, KEMBALI BERSAMA DJ IRA

Pertamanya, Syukur Alhamdulillah, petang tadi sewaktu saya menjalankan tugas menggantikan DJ Amiey pada hari terakhir Sistem SMS telah pun pulih. Tahniah buat pengurusan Manis FM kerana pantas bertindak untuk tidak menghampakan pendengar2 setia Manis FM. Berakhir sudah tugas saya menggantikan DJ Amiey dan sudah tentunya banyak kekurangan jika dibandingkan dengan DJ Amiey. Apa pun, terima kasih kepada pengurusan yang telah memberikan kepercayaan kepada saya.

Esok, 15 Dis 09 mulai jam 10 pagi hingga 2 ptg saya akan kembali bersama DJ Ira Fatiran yang diminati ramai itu. Saya akan cuba melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin dan tentunya DJ Ira yang berpengalaman akan dapat membantu saya. Selamat mendengar Manis FM sepanjang masa.

Sunday, December 13, 2009

ALAHAIII...MALANG NASIBKU INI


Bersiap untuk ke konti.....

Petang tadi hari kedua saya bertugas menggantikan DJ Amiey. Sistem SMS masih lagi bermasalah dan saya tidak dapat membaca ucapan dari para pendengar, begitu juga dengan permintaan lagu. Apa yang peliknya, lepas saja saya bertugas sistem SMS pun pulih. Tak tau lah sampai bila pula bertahan. Namun sebelum tu, sempat juga saya baca 3, 4 SMS. Saya banyak membaca ucapan dari rakan-rakan yang melawati website saja. Ok lah, mudah-mudahan esok hari terakhir saya menggantikan DJ Amiey, masalah itu akan selesai.

Saturday, December 12, 2009

TUGASAN HARI PERTAMA MENGGANTIKAN DJ AMIEY

Bermula petang tadi 12 Dis 09 mulai jam 2 ptg hingga 7 Mlm, saya memasuki konti bagi melaksanakan tugasan menggantikan DJ Amiey yang sedang bercuti. Tugasan ini akan berterusan sehingga Isnin ini.

Hari pertama, agak malang buat saya dan para pendengar kerana server internet untuk membaca ucapan SMS dan minta lagu mengalami masalah. Sepanjang masa bertugas petang tadi, saya hanya sempat membaca 3 SMS ucapan dari para pendengar. Difahamkan sistem kembali pulih sewaktu DJ Wan PCJ memasuki konti mulai jam 7 mlm. Saya membuka bicara tentang isu wanita lewat berkahwin sehingga digelar Andartu, soal menghormati tetamu dan juga bersantai bersama keluarga.

Tentunya banyak kelemahan di dalam aspek penyampaian dan persembahan saya sepanjang tugasan baru ini. Saya sentiasa memerlukan pandangan dan kritikan anda secara jujur dan ikhlas demi kebaikan Manis FM yang kita sayangi ini. Terima kasih kerana terus setia dengan Manis FM.

Thursday, December 10, 2009

DJ AMIEY BERCUTI, DJ ZEK GANTI MULAI PETANG ESOK


Terlebih dahulu selamat bercuti buat DJ Amiey mulai esok 12 Dis hingga 14 Dis 09. Sepanjang percutiannya,saya akan mengambil alih tugas beliau pada sesi petang mulai jam 0200PM hingga 0700PM sehingga Isnin ini. Kepada semua peminat DJ Amiey, bersabar lah menanti kepulangan DJ kesayangan mereka.

Meskipun, ini kali pertama saya ditugaskan pada sesi petang jam 0200PM hingga 0700PM, saya akan cuba untuk menghiburkan anda semua sebaik mungkin. Selamat bertemu sepanjang masa di Manis FM. Saya juga perlukan pandangan, komen dan kritikan anda. Terima kasih.

DJ SAPUAN TIDAK MANDI PAGI ? MELUCUKAN HARI INI

Pagi tadi, saya ditugaskan bersama DJ Ayu bermula jam 1000AM hingga 0200PM, kemudiannya ditemani pula oleh DJ Sapuan yang memasuki konti pada jam 1100. Dua peristiwa melucukan berlaku sewaktu DJ Ayu mengemudi konti bersama DJ Sapuan. Suatu ketika sewaktu DJ Sapuan selesai membaca beberapa SMS Ucapan yang diterima dari para pendengar, baru kami semua perasan bahawa sewaktu DJ Sapuan membaca mic suara tidak dibuka. Kesian Sapuan, puas membaca SMS tetapi tidak `on air'. Terpaksalah beliau dan DJ Ayu mengulangi membaca ucapan SMS tersebut.

Peristiwa yang sama juga berlaku ketika saya sendiri mengemudi konti. Berlaku juga terhadap DJ Sapuan sewaktu beliau ingin memberikan kata-kata penutup sebelum berakhir siaran kami. Puas beliau bercakap, tetapi mic suara lupa saya hidupkan. Maka, DJ Sapuan terpaksa mengulanginya semula. Entah apa yang berlaku dan malang saja DJ Sapuan hari ini. Mungkin tidak mandi pagi kot dia pagi tadi. Apa pun, tugas dapat dilaksanakan dengan baik walaupun berlaku sedikit gangguan dengan peristiwa yang menggelikan hati tersebut. Terima kasih kepada yang sudi bersama di Manis FM.

Wednesday, December 9, 2009

BERSAMA `PENGUIN' ESOK


Esok Khamis 10 Dis 09, saya akan bertugas bersama DJ Ayu yang lebih comel disebut `Penguin'. Kami akan berduet mulai jam 1000AM hingga 0200PM. Dengarkan kami dan DJ-DJ Manis FM dan kami perlukan komen serta pandangan anda semua. Terima kasih kerana anda sudi melawat blog saya yang tidak sepertinya ini.

Tuesday, December 8, 2009

BERSAMA DJ IRA MENYERONOKKAN

Sebentar tadi tepat jam 0200PM hari ini 09 Dis 09, saya menamatkan tugas bersama DJ popular Manis FM iaitu DJ Ira Fatiran. Bermula jam 1000AM, kami cuba berceloteh untuk menghiburkan pendengar Manis FM. Jam 1100AM, kami ditemani seorang lagi rakan setugas iaitu DJ Sapuan. Maka, berebutlah kami dengan `kecopong' (microphone le tu.....) untuk berceloteh. Seperti biasa, DJ Ira dengan gayanya tersendiri berjaya melindungi kelemahan saya dan DJ Sapuan yang masih baru di arena ini.

Apa pun, kami bersyukur akhirnya program yang dipertanggungjawabkan kepada kami berjaya dilakukan. Terpulanglah kepada anda semua untuk membuat penilaian terhadap persembahan kami di Manis FM. Segala pandangan, komen dan kritikan jujur amat-amatlah dialu-alukan. Anda boleh menulis di ruangan Chating di blog ini atau di ruangan komen di bawah artikel ini. Anda juga boleh emailkan kepada saya di alamat zek_riy@yahoo.com

HARI INI GANTI IRA, ESOK KITA PARTNER WEH!!

Pagi tadi 08 Dis 09, saya telah ditugaskan untuk mengambil alih tugas DJ Ira di konti dalam segmen AKDS dan juga rentak dangdut mulai jam 1000 AM hingga 0200 PM kerana DJ Ira bercuti. Mungkin persembahan saya tidak sehebat DJ Ira di dalam mengendalikan segmen tersebut, namun saya berbangga kerana diberi kepercayaan oleh Penerbit bagi menggantikan tugas DJ popular itu.

Esok, 09 Dis 09 mulai jam 1000 AM sehingga 0200 PM saya masih ditugaskan di konti tetapi kali ini berpasangan dengan DJ Ira (Tuan Punya Segmen atau Tuan Tanah..hehehe). Jom kita raikan bersama di Manis FM untuk bersiaran 24 jam bersama DJ-DJ yang berbagai ragam di Manis FM ini.

Monday, December 7, 2009

DJ ZEK BERTUGAS GANTI DJ IRA ESOK

Esok, 08 Dis 09 mulai jam 1000 AM hingga 0200 PM, saya akan menggantikan DJ Ira Fatiran yang sedang bercuti. Jom join bersama Manis FM ok.

Saturday, December 5, 2009

WISMA MANIS KINI PUNYAI CIRI KESELAMATAN KETAT

TAHNIAH, Wisma Manis kini melangkah ke hadapan di dalam menguatkuasakan ciri-ciri keselamatan wisma tersebut. Sebelum ini wisma yang menempatkan konti radio terunggul Pantai Timur Manis FM kurang punyai ciri keselamatan. Kini, sejajar dengan era IT dan kemajuan, Manis FM berupaya meningkatkan tahap keselamatan wisma yang menempatkan kakitangannya.

Pintu masuk ke bangunan wisma kini dilengkapi kamera tertutup CCTV dan lebih canggih lagi di pintu utamanya mempunyai sistem kawalan keluar masuk dengan menggunakan cap jari. Hanya kakitangan yang disahkan sahaja boleh memasuki wisma tersebut dengan meletakkan ibu jari di tempat yang disediakan. Bagi tetamu/pelawat pula, mereka mesti mendapatkan kebenaran dari staf bertugas dengan menggunakan telefon yang disediakan di pintu masuk wisma. Tahniah sekali lagi kepada pengurusan Manis FM.

Friday, December 4, 2009

BAWA KELUARGA KE KB

Lepas raya haji baru-baru ni, saya ambil kesempatan untuk membawa isteri, anak dan mak mertua berjalan-jalan di KB, Kelantan. Masa nak ke Kelantan, dua kali tayar kereta pecah langgar lubang, maklumlah banjir...aduuhhh.....kopakkk poket beb...tapi ok la...musim banjir ni camne la nak bawa keluarga berjalan-jalan ye...ermm...tapi curi-curi la masa untuk bawa berjalan ke Wakaf Che Yeh time tak ujan tu...Terima kasih buat Kakyah Tokeh Hotel Sri Cemerlang yang banyak bantu kami di sini....THANKS.

Tuesday, November 24, 2009

SELAMAT TINGGAL DJ AZIZUL !!


SEBENTAR tadi tepat jam 1100 AM, 25 Nov 2009 berakhirlah tugas DJ Azizul bersama Radio Manis FM. Beliau melangkah ke konti Manis FM seawal jam 0600 pagi tadi seperti biasa bersama DJ Rosli Jr (junior) tetapi di akhir rancangan, ketara suara DJ Azizul menahan sebak mengucapkan selamat tinggal kepada Stesyen Radio Terunggul di Pantai Timur ini. Lebih kurang 8 tahun, beliau menghabiskan masanya di radio ini dan beliau mampu membantu Manis FM ke arah yang lebih bergaya.

Beliau sering ditugaskan di segmen sebelah pagi selepas DJ Abe Noor bercuti rehat. Seorang yang kelihatan agak serius di dalam tugasnya, tetapi seorang yang baik hati dan ramah ketika melakukan tugas mewancara tetamu-tetamu di konti Manis FM sebelah pagi. Saya amat terkilan kerana tidak berkesempatan untuk meraikan beliau sebelum beliau melangkah keluar dari Wisma Manis FM sebentar tadi. Cuma, doa dipanjatkan agar beliau akan lebih berjaya di lapangan terbarunya. Ke manakah arah tuju DJ Azizul selepas ini? Difahamkan beliau akan bertugas di Kuantan tetapi saya tidak dapat pastikan di bidang apakah tugasan beliau selepas ini. Apa pun, kita doakan beliau terus sukses di bidang barunya. SELAMAT TINGGAL DJ AZIZUL.

Monday, November 23, 2009

SIAPAKAH PENGIRIM-PENGIRIM SMS SETIA DI MANIS FM ?

Terlebih dahulu saya bersyukur kerana pagi tadi saya dan juga DJ Sapuan Jr (junior) telah selamat mengendalikan siaran pagi di Radio Manis FM mulai jam 0600 AM hingga 1100 AM. Kebetulan pagi tadi Manis FM ada tetamu yang diundang iaitu Ketua Unit Operasi dari JPJ Kelantan. Alhamdulillah, semua berjalan lancar walaupun saya sendiri merasa tidak berpuas hati lagi dengan cara persembahan pagi tadi. Biasalah, belajar tidak akan pernah tamat.

Saya kini sedang mengumpul senarai nama pengirim2 SMS yang setia bersama Manis FM di kala siang dan malam. Setakat ini saya telah mengumpul lebih kurang 70 orang dan jumlah ini pastinya akan bertambah dari masa ke semasa, InsyaAllah. Saya akan menyiarkan senarai nama pengirim2 SMS yang sentiasa setia bersama Manis FM ini untuk dikenali bersama. Senarai nama tersebut akan disiarkan secepat mungkin, InsyaAllah. Teruskan bersama Manis FM.

Sunday, November 22, 2009

PTG INI BERSAMA WAN PCJ, ESOK BERSAMA DENGAN JPJ

Petang ini hari Isnin (23 Nov 09) jam 0700 PM sehingga jam 1200 AM, saya ditugaskan untuk bersama DJ Wan PCJ di konti Manis FM. Esok pagi pula 24 Nov 09 jam 0600AM sehingga 1100AM, saya ditugaskan untuk bersama dengan pegawai dari JPJ selaku tetamu jemputan di Manis FM. Teruskan bersama Manis FM yang bersiaran 24 jam.

FOTO PENDENGAR MFM DI MESIR

Foto ini dikirimkan oleh sahabat kita yang menggelar dirinya Profal. Foto ini dirakamkan di hadapan Kelantan Students Hostel, Seksyen 7, Kaherah, Mesir. Terima kasih buat pengirim kerana sudi mengirim foto rakan-rakan pendengar Manis FM yang mengikuti siaran radio online Manis FM melalui http://www.manis.fm . Sekiranya anda ada mempunyai sebarang foto untuk dikongsi bersama, sila emailkan kepada saya di alamat zek_riy@yahoo.com.


Wednesday, November 18, 2009

DJ ABE NOR AKAN KEMBALI BERSAMA MANIS FM ?

MUNGKIN terlalu ramai yang merindui DJ berpengalaman di Manis FM iaitu Abe Nor. Suara Abe Nor sering berkemundang di awal pagi memecah kesunyian dengan celoteh bersahajanya di samping gurau sendanya bersama para pendengar. Benarkah DJ berpengalaman ini akan kembali ke Manis FM tidak berapa lama lagi?

Saya serta rakan-rakan setugas tentunya menyambut baik kehadiran semula Abe Nor untuk bersama-sama merancakkan konti Manis FM bersama anda para pendengar semua. Tidak sabar rasanya untuk bertemu muka dengan DJ Abe Nor. Saya pertama kali bertemu dengannya sewaktu awal mula menjejakkan kaki ke wisma Manis FM dan sempat berbual panjang dengannya. Beliau sempat memberi tunjuk ajar kepada saya berkaitan tugas-tugas DJ. Semoga Abe Nor kembali bersama kami semua. InsyaAllah.

MAHU TUBUH KELAB PEMINAT MFM DI PAHANG

MEMANDANGKAN saya begitu lama menetap di Kuantan, Pahang dan semenjak saya berada di Manis FM, begitu ramai kenalan2 saya di Kuantan kini menjadi pendengar setia MFM, saya telah dicadangkan oleh teman2 di sana untuk menubuhkan Kelab Pendengar MFM khususnya di kawasan Kuantan/Pahang. Saya bersetuju dengan cadangan tersebut, dan buat masa ini saya sedang mencari penaja untuk menyediakan T-Shirt Manis FM sebagai permulaan kepada penubuhan kelab ini. Alhamdulillah, penaja tersebut pada dasarnya telah pun bersetuju untuk membekalkan T-Shirt Kelab Penyokong MFM.

Saya akan berbincang pula dengan DJ Aiman untuk menubuhkan kelab yang sama di Kota Bharu/Kelantan. Mudah-mudahan sekiranya ini semua berjaya dilakukan, kami akan berusaha meluaskannya di sekitar Pantai Timur. Terima kasih kepada semua peminat Manis FM yang sentiasa tabah bersama kami untuk mengembangkan stesyen radio terunggul Pantai Timur ini.

Tuesday, November 17, 2009

SELAMAT DATANG DUA DJ BARU KE MFM

SELAMAT datang buat dua pemuda kacak ke Manis FM bagi merancakkan konti Manis FM. Mereka adalah DJ Sapuan dan DJ Rosli. Saya telah berkesempatan bersama mereka bertemu muka dan minum sambil berbual di konti sewaktu mereka bertugas. DJ Aiman diberi peluang melatih DJ Sapuan untuk kali pertamanya. Manakala saya kali pertama bersama DJ Rosli. Kini mereka berterusan bersama DJ-DJ Manis FM untuk belajar berkomunikasi secara on air di radio MFM. Selamat Belajar.

Wednesday, November 11, 2009

ANDA BERMINAT UNTUK MENJADI DJ RADIO MANIS FM?

Berminat menjadi penyampai Manis FM?

Sila hubungi 09-7436661 atau 019-6133869 untuk keterangan lanjut...

Monday, November 9, 2009

SRI CEMERLANG LOUNGE TAJA SEGMEN NON STOP ENTERTAINMENT

AWAL pagi tadi 10 Nov 09 jam 1200 AM hingga 0300AM, Saya ditugaskan bersama DJ Aiman untuk mengendalikan segmen `Non Stop Entertainment' yang ditaja kali pertamanya oleh Sri Cemerlang Lounge sebuah hotel bajet bertempat di Jalan Sri Cemerlang, K.Bharu. Tajaan ulung ini dapat dilaksanakan dengan jayanya meski pun kami berdua masing-masing keuzuran kerana selsema. Diharapkan Sri Cemerlang Lounge terus menaja di Manis FM di masa-masa akan datang.

Saturday, October 31, 2009

HADIAH TOP UP HAND SET BUAT AYOB JK 881 DARI KUANTAN

BARU-baru ini saya bersiaran mulai jam 1200 AM hingga 0600AM. Saya buka ruang untuk para pendengar menghantar cerita-cerita lucu melalui SMS ke Manis FM. Sebagai galakan dan tanda terima kasih, secara peribadi saya menawarkan saguhati berupa tambah nilai pra bayar bernilai RM 10 kepada sesiapa yang menghantar cerita-cerita paling lucu. Saya buka segmen tersebut mulai jam 1200 AM sehingga 0300AM sahaja. Sambutan diterima amat menggalakkan dan boleh dikatakan sukar untuk saya memilih pemenangnya.

Akhirnya, setelah menilai sendiri serta mendapatkan pandangan rakan-rakan rapat, saya memilih 3 cerita dari 3 pengirim yang berlainan sebagai pengirim yang berjaya ke pemilihan akhir. Setelah dinilai serta mendapat respon dari pendengar2 juga, akhirnya saya memilih pengirim SMS yang bergelar Ayob JK 881 dari Kuantan sebagai pemenang. Beliau telah pun menerima hadiah tambah nilai (top Up) tersebut. Tahniah, buat Ayob JK 881.

Thursday, October 22, 2009

DJ AZIZUL AKAN LETAK JAWATAN?

Seperti kisah orang politik pula. Gossip bertiup kencang di kalangan warga Manis FM yang heboh memperkatakan DJ Azizul akan memohon untuk keluar dari Manis FM dan akan menceburi dunia baru di luar. Saya pun tidak pasti berita ini. Namun diharapkan apa jua yang dipilih oleh rakan setugas kami di Manis FM itu diharapkan akan mencapai kejayaan yang lebih baik. Beliau seorang DJ yang baik dan sering ditugaskan di waktu pagi bersama beberapa tetamu jemputan yang ke udara di Manis FM. Apa pun mudah-mudahan DJ Azizul akan membuat pilihan yang tepat dan kami semua sentiasa mendoakannya.

Monday, October 19, 2009

KEMBALI BERTUGAS SETELAH CUTI REHAT

Baru petang tadi aku kembali bertugas bersama DJ Wan PCJ. SEbelum ini aku bercuti lebih kurang seminggu. Balik Kuantan tengok keluarga di sana. Bertugas sebentar tadi, ok, tiada masalah. Topik petang tadi adalah berkaitan tentang masalah, iaitu kepada siapakah yang pertama kita hubungi untuk berkongsi masalah dengan kita. Sambutan dari pendengar amat baik dan banyak sms komen serta pandangan yang telah diberikan. Sayang sikit, panggilan telefon masih belum boleh digunakan akibat kerosakan teknikal. Terima kasih buat DJ Wan PCJ yang sudi menghantar kad jemputan kahwin abangnya yang akan diadakan pada Hari Ahad 29 Nov ini nanti. InsyaAllah, saya cuba hadirkan diri.

Esok, 20 hb Okt saya masuk bertugas petang lagi bersama Wan PCJ mulai jam 0700 PM sehingga 12AM. Jumpa di Manis FM ok.

Tuesday, October 13, 2009

CUTI DAN REHAT

MALAM tadi aku bertugas dengan DJ Wan PCJ. Setelah lama mengalami gangguan kesihatan di musim hujan ni, aku mengambil cuti rehat mulai hari ini sehingga 18 Okt ni. Lagi pun ada beberapa hal nak aku selesaikan sepanjang cuti ni. Harap2 lepas ni masalah kesihatan tiada lagi sehingga menjejaskan tugas aku nanti. Kepada DJ2 yg lain, selamat bertugas semua. Jumpa lagi.

Friday, October 9, 2009

MC PULAK, SESI BERDUET DAN ITIK BERCAKAP DENGAN AYAM, !!

Semalam aku MC sehari pasal demam selsema. Maka terlepas peluang untuk berduet dengan DJ Azizul, DJ Ayu dan DJ Amiey. Apapun, esok 10 OKt mulai jam 1000 hingga 1100 aku berduet dengan DJ Iza. Lepas tu bersama DJ Ayu sehingga jam 2 petang. Kemudian bersama DJ Amiey sehingga jam 3 petang, InsyaAllah. Hari Ahad 11 Okt, aku diberi peluang berduet dengan DJ Iza di dalam segmen `loghat Kelate'. Huh...satu cabaran tu. Seperti itik bercakap dengan ayam la nanti. Hehe....Apa pun...Kicap pun Kicaplah!!!!

Wednesday, October 7, 2009

DISERANG VIRUS?


Petang semalam 07 Okt, aku masuk konti mulai jam 7 ptg hingga 12 mlm. Wan PCJ cuti sakit hari tu. Jadi, aku kena bertugas sorang2 la. Semasa dlm perjalanan ke konti, jalan punyalah jem giler pasal apa aku pun tak tau. Mungkin pasal hujan yang lebat petang tu kot. Sampai konti pulak, dimaklumkan sistem SMS dan panggilan telefon tak boleh berfungsi akibat petir petang tu.

Masuk bertugas menggantikan giliran DJ Amiey. Badan pulak petang tu rasa tak berapa sihat kerana selsema. Nak buat camne, terpaksalah kurangkan berceloteh. Cakap sikit je, tersumbat hidung. Huhh..virus plak....Dah la konti ada virus teknikal sistem SMS dan telefon, aku pun sama gak. Terasa lesu suasana petang hingga ke malam tu. Kesihan kat pendengar2 yang nak kirim SMS atau pun nak mengubungi talian Manis FM. Sabor je la ye. Harap2 cepat sembuh penyakit aku dan penyakit kat konti tu.

Sabtu ni, aku bertugas pagi pulak sama DJ Iza mulai jam 1000AM-1100AM. Sambung lepas tu sama DJ Ayu sampai pukul 2 ptg. Kemudian sama DJ Amiey sehingga 3 Ptg. Hari Ahad 11 Okt pula, aku bersama DJ Iza dalam rancangan `Loghat Kelate' mulai jam 0700PM hingga 1200AM. Perghhh...belajar kecek kelate kawe....(nanti cam itek berkecek ngan aye la jadinya). Takpe, Manis FM punya pasal......KICAP PUN KICAPLAH!!

MULA BERTUGAS PETANG, SEMOGA DJ WAN PCJ CEPAT SEMBUH

Pada 6 Okt 09, bermulalah aku bertugas petang di konti mulai jam 0700 PM hingga 1200AM. Sepatutnya aku akan bersama DJ Wan PCJ, tetapi beliau diberi cuti sakit selama 2 hari. Moga-moga beliau cepat sembih dan dapat bersama kita semula.

Aku akan bertugas petang mulai tarikh tersebut sehingga 07 Okt 09 sahaja. Selepas itu, aku akan bersama DJ2 yang lain pada sebelah pagi/petang mulai 1000AM hingga 0300 PM. Bukan mudah untuk menyesuaikan diri bersama DJ2 yang belum pernah bersama, tetapi InsyaAllah, mereka semua orang lama dan sudah tentu mampu membantu dan mengajar aku nanti. InsyaAllah, kita jumpa di Manis FM.

Sunday, October 4, 2009

AKU TERINGAT PADA DJ ISMA HALIL.......

pagi itu..khamis 3 Mac 2005 jam 6.00 pagi.. ialah waktu terakhir DJ Isma Halil Hamzah on air di THR.FM....aku terkedu....waktu itu aku masih ingat, malam terakhir DJ Isma ke udara..antara tak percaya dan sedih..aku terus melayan..sbb memang aku tunggu setiap kali DJ Isma ke udara..

tiada lagi kisah seram dan kisah benar..tiada lagi lagu minah kilang dan rozana versi tamil..tida lagi hiburan buat mak ngah setiap pagi..tiada lagi peribahasa2 baru..Membujur lalu melintang pukang..Sebab pulut santan binasa, sebab mulut habis pulut..Habis madu sepah jgn di buang merata2..Sepandai2 tupai melompat, akhirnya tak dpt masuk olimpik juga..

siapa Isma Halil Hamzah? tak kenal ke? agaknya kamu tidak hidup dlm zaman dia..tak apa,biar aku ceritakan..abg Isma boleh aku katakan seorang DJ radio yang sepatutnya no. 1 di Malaysia..abg Isma bagi aku satu2nya DJ yang dapat menyatukan pendengar dari setiap peringkat umur..dari setiap golongan masyarakat..dari semua kaum di malaysia termasuk bangla2 stesen minyak..sebut siapa saja..ustaz?pembunuh?perogol?kaki minum?mak?abah?datuk?nenek?orang kaya?orang miskin?semua pasti merindui abg Isma..dari radio muzik, dicampak ke thr..beliau mempunyai kelompok pendengar yang tersendiri..tak macam DJ sekarang,semua panggilan dari peminat dibuat secara live..kerana beliau percaya pada pendengarnya..kadang2 ada jugaklah pemanggil yang buat sial..tapi abg Isma ok..bagi aku,rancangan2 kendalian abg isma iaitu kisah seram dan kisah benar banyak Justify Fullmemberi pengajaran dan iktibar kepada kita semua..terlau padat dgn isi yang kita boleh bawa sepanjang jalan hidup kita..bagi aku beliau seorang guru..yang mengajar aku,untuk hidup..

Radio tetap penyampai maklumat

Peranan radio dalam pembangunan bangsa dan negara tidak harus diperkecilkan. Sekalipun bersaing dengan media elektronik lain seperti televisyen dan Internet, radio dilihat tetap mendapat tempat. Ini kerana ciri-ciri radio itu sendiri yang mudah alih serta mempunyai fleksibiliti masa dan tempat untuk mendapatkan aksesnya.

Misalnya radio masih boleh didengar sekalipun dalam perjalanan ke tempat kerja. Tetapi media seperti televisyen, Internet dan akhbar tidak dapat memenuhi tuntutan pengguna pada keadaan begini. Dari segi penyampaian berita radio mempunyai peluang yang lebih besar kerana menggunakan suara untuk melaporkan perkembangan terkini berbanding televisyen.

Soalnya adakah dengan pertambahan jumlah saluran radio sama ada milik kerajaan atau swasta memberi peluang yang lebih besar kepada pengguna mendapat maklumat? Kalau diteliti, sebahagian besar saluran radio dipenuhi dengan lagu atau muzik serta celoteh berbanding maklumat terkini sama ada dalam atau luar negara.

Adakah radio sekarang ini hanya untuk memberikan hiburan percuma berbentuk lagu dan muzik? Sebagai media, radio perlu kelihatan menonjol daripada aspek penyampaian maklumat atau berita yang menjadi bualan rakyat.

Pertambahan saluran radio adalah satu perkembangan positif dengan harapan memberi satu banyak alternatif kepada khalayak pendengar yang memerlukan maklumat terkini berbanding lagu-lagu semata-mata.

Adakah dalam era global dan kecanggihan teknologi masa kini, peranan radio telah sedikit berubah daripada penyampai maklumat kepada penyiaran lagu-lagu? Jika satu masa dahulu, pada zaman sebelum merdeka, radio menjadi wadah menyemarakkan semangat nasionalisme selain mendapat maklumat tentang isu-isu semasa.

Tetapi kini ia kelihatannya seolah-olah lebih mementingkan aspek hiburan semata-

mata. Tidak percaya? Bukalah gelombang mana sekali pun, muzik seolah-olah menjadi pemikat hati pendengar dan seterusnya memungkinkan rating sesebuah stesen radio itu meningkat.

Tidak banyak lagi maklumat terkini berkaitan hal ehwal negara yang boleh kita peroleh menerusi radio kecuali tip ringkas berkenaan trafik misalnya. Laporan-laporan berita yang disiarkan pula hanya disampaikan secara seringkas mungkin melalui slot-slot dua minit pada kebanyakan radio swasta.

Sebahagian besar radio swasta pula berkonsepkan hiburan dan saluran seperti ini akan menyiarkan muzik 24 jam sehari semalam. Mereka memancing pengiklan dan bekerja keras untuk mencatatkan rating yang tinggi.

Justeru sejauh mana peranan mereka sebagai penyampai maklumat?

Saturday, October 3, 2009

RADIO ONLINE MANIS FM BERFUNGSI SEMULA

TAHNIAH, buat Jabatan IT Manis FM serta individu yang bertanggungjawab yang tidak pernah berputus asa sekian lama untuk memulihkan kembali fungsi Radio Online yang terdapat di dalam laman web Manis FM. Alhamdulillah, lewat tengah malam tadi 04 Oktober 2009, fungsi Radio Online telah kembali pulih. Berita ini tentunya menggembirakan pendengar-pendengar Manis FM yang selama ini tertunggu-tunggu untuk mengikuti siaran radio Manis FM secara online.

Tahniah dan syabas sekali lagi diucapkan. Mudah-mudahan website Manis FM akan terus dikembangkan dari masa ke semasa bagi menarik lebih ramai melawat website tersebut.

Thursday, October 1, 2009

KELUARGA KU, SYURGA KU - HARI RAYA DI KAMPUNG


Alhamdulillah, dapat juga saya beraya di kampung tahun ini. Suasana beraya di kampung memang meriah. Gambar2 di atas adalah gambar kaum keluarga ku pada hari Raya Idil Fitri termasuk ipar serta anak masing2.

Wednesday, September 30, 2009

WAKTU UNTUK BEREHAT DJ ZEK!!

Mulai hari ini, saya diberi peluang untuk berehat dari berada bersama pendengar2 MFM. Apa pun, MFM sentiasa disisi saya terutamanya diwaktu malam sebelum melelapkan mata. Tentunya rindu kat teman2 dinihari tetapi tetap dapat mendengar celoteh DJ Aiman @ Hj Bakhil bersama teman2 setia MFM.

Paling mengembirakan, jelas bilangan pendengar MFM semakin meningkat. Berkat usaha teman2 DJ semua yang sentiasa sabar dan tabah untuk mengembalikan prestasi MFM. Saya sentiasa doakan teman2 berjaya untuk meningkatkan lagi prestasi MFM walaupun seribu dugaan dan cabaran mendatang. Kekallah bersama MFM kerana kelian kini dimiliki oleh peminat2 dan pendengar2 yang sentiasa menyokong kelian.

Selamat bertugas...

Wednesday, September 16, 2009

FOTO- SEKITAR KREW MFM KE LOKASI OPERASI TENTERA DI POS RENAP, JELI

Panglima Briged Sempadan menyerahkan bungkusan kueh raya kepada Pegawai Memerintah Batalion Pertama Briged Sempadan


Warga tentera asyik sedang mendengar ucapan dari pegawai atasan mereka

Warga tentera bekerjasama membuat persediaan sebelum berbuka puasa

Wah!! Garangnyer....RSM Batalion Pertama Rejimen Sempadan sedang merakamkan ucapan selamat hari raya.
Salah seorang Pegawai Kanan sedang memberikan ucapan selamat hari raya

Keadaan sekitar Pos Kawalan

Ketibaan Ybhg Panglima Briged Sempadan disambut oleh semua pegawai dan warga tentera di pos

Sedang sibuk siapkan peralatan rakaman


Dah lama tak masuk dalam khemah di hutan ni, terasa gian la plak.....

Kelihatan Penerbit, En Nizam serta salah seorang wakil media berbincang sesuatu dengan salah seorang pegawai tentera sebaik tiba di lokasi


Pn Sabariza selaku Pro (isteri En Nizam) serta Cik Zu (J/Teknik) ketika baru sampai ke lokasi


Salah satu program MFM sempena bulan Ramadhan serta menjelang Hari Raya Aidil Fitri ini adalah menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Media dan Warga Tentera di Pos Renap, Bukit Bunga, Jeli, Kelantan. Di situ terletaknya Kompeni A Batalion Pertama Rejimen Sempadan di bawah pemerintahan Panglima Briged Sempadan, Brig Jen Dato' Azmi bin Yahya.

Pada petang 13 Sept 09 lebih kurang jam 3.30 Ptg, krew MFM (Penerbir En Nizam & Isteri, Cik Zu (J/Teknik) dan saya bertolak dari Wisma MFM menuju ke MK 8 Bgd, Kem Pengkalan Chepa, K. Bharu. Setiba di sana, kami diminta menunggu kenderaan yang akan membawa kami ke lokasi yang ingin dituju. Kami terpaksa lama menunggu di dalam Wisma Perwira MK 8 Bgd kerana difahamkan kenderaan tentera yang akan membawa kami mengalami kerosakan. Agak membosankan juga bila menunggu begitu lama, tetapi terasa lega sedikit kerana kami diberi masuk ke dalam wisma tersebut yang dilengkapi aircond.

Setelah lama menunggu, kenderaan tersebut masih gagal dibaiki. Kami dibawa menaiki kenderaan utiliti tentera jenis Iswara hitam oleh seorang pegawai yang juga menjadi pemandu kami ke lokasi. Perjalanan amat jauh terasa, apatah lagi kami yang duduk di belakang terpaksa berhimpit. Di masa itu terasa juga dihati, kenapa kita tidak bawa saja kereta Hulux syarikat sahaja? Tiada siapa boleh jawap soalan yang timbul di dalam hati saya itu.

Akhirnya setelah menempuh perjalanan melebihi satu jam itu, kami pun sampai ke lokasi. Suasana amat cantik dan menarik di lokasi/pos kawalan mereka. Kami disambut mesra oleh pegawai-pegawai dan anggota tentera di situ. Turut berada di lokasi adalah wakil dari media lain seperti RTM, akhbar Berita Harian dan Sinar. Sesampai saja di lokasi, kami terus menyediakan peralatan untuk membuat rakaman ucapan selamat hari raya dari warga tentera di situ. Setelah rakaman dibuat yang melibatkan lebih kurang 16 orang terdiri dari pelbagai jawatan dan pangkat, kami berehat sambil menunggu waktu berbuka puasa.

Hidangan yang disajikan agak istimewa juga kerana dimasak sendiri oleh anggota-anggota tentera di situ. Selepas berbuka, hujan pula turun dan kami semua bersembahyang Maghrib berjemaah bersama warga tentera di situ di madrasah yang disediakan. Selepas itu, rakaman takbir Hari Raya dijalankan. Majlis seterusnya adalah ucapan Selamat Hari Raya oleh Pegawai Pemerintah Kompeni A Batalion Pertama, serta ucapan dari Panglima Briged Sempadan kemudiannya Panglima menyerahkan bungkusan kueh raya kepada Pegawai Pemerintah pos tersebut.

Selesai majlis tersebut, kami pun pulang dengan menaiki kenderaan yang sama terus ke Kem Pengkalan Chepa semula sebelum kami balik ke rumah masing-masing. Peristiwa yang sempat dirakamkan seperti di atas. Sekian, khas buat teman-teman setiaku dan MFM.

ALAMAK !! SISTEM SMS TERGENDALA LA PULAK...

Gambar Hiasan- Wajah anak yang ku rindu selalu....


Amat menyedihkan. Semenjak tengah malam semalam sehingga waktu ini, konti MFM masih gagal menggunakan sistem SMS untuk membaca kiriman SMS dari rakan2 semua. Ini adalah akibat dari beberapa masalah teknikal yang kini sedang giat diperbaiki. Kami DJ di sini amat dukacita atas apa yang berlaku kerana rindu teramat sangat untuk membaca kiriman SMS dari para pendengar semua.

Namun demikian, untuk mengubat sedikit kerinduan, kami kini membuka lebih kerap laluan panggilan masuk ke konti MFM terutama di waktu malam. Apatah lagi menjelang kita menyambut kedatangan Hari Raya Aidil Fitri. Di harapkan kita dapat bersabar semoga masalah teknikal ini dapat diatasi secepat mungkin, insyaAllah. Sekian, selamat berpuasa, berbuka dan menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Monday, September 14, 2009

FOTO- DJ AMIEY MANCHO, DJ IRA PULA BERGAYA SAKAN

Eheemm...comelnyer DJ kita ni yer...bergaya sakan dgn baju raye ke??....Inilah DJ Ira Fatiran yg suaranya sedap secantik orangnyer...

Huh...tak puas lagi nak bergaya!!! Wah!! Ni cam artis la plak....ehehhh....

Apa la yang dibualkan oleh DJ Amiey dan DJ Ira tu yer...ermmm...soal hati dan perasaan ke?? ehehhh....gurau jer...nanti ada plak yang kena katokkk pala....wakakaka...

DJ Ira sedang bertugas di konti

Bawah: Ini lah DJ Amiey yg sedang melayani pendengar, cam hero filem. Filem ape yer...ermmmm...kacak and mancho...

Friday, September 11, 2009

FOTO - RAMPAS KUASA DI KONTI MANIS FM ?

Foto di atas ini dirakamkan menjelang tengah malam 12 Sept 2009. Kelihatan DJ Wan PCJ sedang tekun membacakan kiriman SMS rakan2 pendengar Manis FM. Di belakang DJ Wan PCJ pula adalah DJ Aiman `Wok Yeh' yang tidak sabar2 untuk `merampas' kerusi dari DJ Wan PCJ tepat pukul 12 AM.


DJ Aiman `Wok Yeh' begitu bersemangat memulakan tugas setelah berjaya `merampas' kerusi daripada DJ Wan PCJ tepat jam 1200 AM. DJ Wan PCJ, tunggu apa lagi??? Balik arrrr demoo...



Saya bersama DJ Wan PCJ di konti. Kelihatan DJ Wan PCJ `beraksi' seperti model. Hensem dia kan? Hehehe...agak2 dah kawen ke dia yer???


DJ Aiman `Wok Yeh' bersedia untuk memulakan tugasan beliau setelah mengambil alih tugas daripada DJ Wan PCJ. Kelihatan di belakang DJ Aiman `Wok Yeh' adalah DJ Zek (`Kassim Selamat' ?) yang bersatu tenaga bersama peminat setia Manis FM untuk menggegarkan ruang udara Manis FM mulai 1200 AM sehingga 0600 AM.

THANKS DJ AYU, KASUT SILAP SAIZ LA PLAK!!

Aku balik dari bertugas awal pagi tadi selepas jam 0600. Tugasan pagi tu diambil pula oleh DJ Iza. Balik je bilik, relaks jap je, lelap la mata. Bangun dalam kul 1000, pergi plak beli baju dan kasut raya PU3 kesayanganku kat bandar. Sebelum balik sembahyang Jumaat, sempat la hantar SMS ucapan kat `Combi' aku kat Kuantan nun. Tima kacih DJ Ayu yang bertugas ketika itu yang tolong bacakan ucapan aku pagi tadi. Haaa...tengok!!! Kita orang pun join gak SMS2 ni tau.....

Tima kacih jugak buat `Combi' yang sepantas kilat kirim SMS ucapan kat aku di sini. Itulah kata orang, ada ubi, ada batas. Ada yg beri, ada la yg membalas. Ok la...cukup kali ini coretan aku...penat...letih...dan..satu lagi..fade up pasal beli kasut anak tak kena saiz plak Combi bagitau. Tu nak kena tukar lain la plak nanti tu....aku gak yg kena pegi tukar nanti. Adeehhh... Byee..

Wednesday, September 9, 2009

PENDENGAR MENINGKAT DI BULAN RAMADHAN

Maklumlah bulan Ramadhan. Masing2 ada yg tak tidor tunggu sahur. Jadi semenjak Ramadhan konti Manis Fm di waktu tengah malam kiriman sms semakin meningkat dari sebelumnya. Tahniah kepada anda para peminat setia Manis FM. Kadangkala menjangkau jam 4.30 AM- 0500 AM masih ada sms yg diterima walaupun kita telah beri makluman awal bahawa sms akan dibaca sehingga jam 04.30 sahaja untuk memberi laluan kepada Tadarus Al-Quran.

SMS yg diterima agak lewat, kita tidak akan mengabaikan atau membuangnya tetapi ianya tetap akan dibaca oleh DJ Bertugas selepas waktu 0600 Am. Bagi kemudahan dan kebaikan semua, ada baiknya setiap kiriman SMS dikirim seawal mungkin kerana boleh dibaca secepat mungkin mengikut giliran.

Saya secara peribadi dan Aiman@Hj Bakhil@Wok Yeh sentiasa mengalu-alukan pendengar Manis FM yang kini dilihat telah mula bertambah. Syabas, pendengar2 dari Pahang yang semakin bertambah, juga Tganu dan Kelantan. Agak menarik juga, ketika kami bertugas para pendengar dari ketiga-tiga negeri dilihat seolah-olah berlumpa untuk menjadi juara negeri terbanyak mengirim SMS. Itu amat menyeronokkan kami melihat gelagat dan tingkah laku para pengirim SMS. Ada ketikanya kami sakit perut tertawa dengan gelagat kalian, dan ini semua menjadikan kita semakin akrab.

Teruskan menjadi teman setia kami semua di Manis FM yang beroperasi 24 jam. Ceriakan Manis FM sentiasa. Wassalam.

Tuesday, September 8, 2009

KEMBALI BERSAMA DJ AIMAN @ HJ BAKHIL


Saya di konti sentiasa seronok dengan telatah `Wok Yeh' dan `HJ Bakhil'

Tengok tuu...bersungguh DJ Aiman menggayakan suara `Hj Bakhil' dan `Wok Yeh'...

Eleehh...nak buat muka serius konon Hj Bakhil ni........

DJ Wan PCJ tetap mentennnn......kontrol ensem bang.....

Cepat laaa tangkap gambar kawe ni.....kawe nak kelik doh niii weyyy.....

Alhamdulillah, baru2 ni saya bercuti seminggu kat Kuantan. Biasalah rindu kat `Combi' di sana dengan anak saya Pu3. Di Kuantan, saya sentiasa ikuti siaran Manis FM ni terutamanya waktu malam sementara tunggu masa bersahur. Kesihan Hj Bakhil @ Wok Yoh kita kat konti time tu. Tiada teman seperti biasa. Sakit2 tekak pun Hj Bakhil bercakap jugak. Tu la pasal, asyik dok tiru suara orang je.

Sehari dua ni ada la teman dia. Saya dah mula masuk bertugas. Apa lagi lepas gian la Hj Bakhil ni. Sempat juga la bergambar malam tu dengan DJ Wan PCJ serta Hj Bakhil @Aiman Wok Yeh. Hehehe...gelaran baru tu. Di atas tu la gambar2 yg sempat saya rakamkan untuk kenangan.

Sekian dulu, Selamat mendengar Manis FM.

Tazkirah Ramadan MB menerusi radio Manis fm

Wed | Oct 03, 07

KOTA BHARU, 3 Okt (Hrkh) - Tazkirah melalui radio oleh pemimpin kerajaan negeri. Ini sesuatu yang mengejutkan kerana tidak pernah berlaku sebelum ini. Namun, mulai tahun lepas Radio Manis fm menyiarkan rakaman tazkirah itu sempena Ramadan.

Sedangkan sebelum ini suara pemimpin PAS digam daripada menembusi corong radio. Malah usaha kerajaan negeri mendapatkan lesen mengendalikan stesen radio sendiri juga tidak dibenarkan.

Tahun lepas tazkirah Ramadan hanya membabitkan Menteri Besar sahaja. Namun tahun ini anggota-anggota Exco dan Timbalan Speaker turut diberi peluang menyampaikan tazkirah.

Stesen radio swasta terbabit berpangkalan di sini menyiarkan tazkirah pemimpin kerajaan negeri sejak awal Ramadan lalu.

Siaran radio itu boleh diikuti sehingga ke Pahang. Manis fm satu-satunya radio swasta yang terdapat di Pantai Timur. Ini menyebabkan tazkirah Ramadan yang disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin lain mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut jurucakap Manis fm, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai yang memuji langkah menyiarkan tazkirah Ramadan pemimpin kerajaan negeri.

Sehingga pada waktu tertentu katanya, ranking (ratin) pendengar mencecah hingga 200,000 hingga 300,000 orang menjelang waktu berbuka puasa.

“Tujuan takzkirah berkenaan diadakan untuk memberi peringatan kepada umat Islam di bulan mulia ini sama ada berhubung puasa atau amalan mulia yang perlu dilakukan,” katanya.

Program Tazkirah Ramadan itu dikendalikan bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan dan Manis fm. Siaran rakaman itu sebanyak lima kali sehari, selama lima minit.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, tazkirah terbabit turut disampaikan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob,

anggota-anggota Exco, Ustaz Mohd Amar Abdullah, Ustaz Hassan Mohamood, Dr Nik Maziah Nik Mahmood dan Timbalan Speaker, Ustaz Nasharuddin Daud.

Menurutnya pihak urusetia juga menerima panggilan orang ramai yang turut memuji langkah tersebut.

“Sebagai contoh tazkirah yang menyentuh soal amalan puasa dari sudut kesihatan menerima banyak pujian daripada pendengar yang ingin mengetahui kelebihan berpuasa dari sudut kesihatan,” ujarnya.

Tazkirah Ramadan yang dirakamkan di bilik rakaman Manis fm itu dikeudarakan bermula selepas solat Subuh, jam 8.50 pagi, 1.15 tengahari, 4.00 petang dan jam 7 malam.

Setiap pengkuliah mengupas tajuk yang berlainan antaranya pengertian puasa, kelebihan dan kewajipan puasa dari sudut kesihatan, amalan yang patut dilakukan sepanjang Ramadan dan manfaat menderma.

Abdul Rahman berkata, pihaknya bercadang mengadakan tazkirah tersebut sehingga sambutan Hari Raya Aidiladha.

Baru-baru ini krew Manis fm mengadakan rakaman tazkirah di pejabat Timbalan Menteri Besar.

Sementara itu, seorang pendengar Manis fm, Rohani Seman, 35, melahirkan rasa bangga kerana pemimpin kerajaan negeri sendiri menyampaikan tazkirah Ramadan.

“Perkara ini tidak berlaku di tempat-tempat lain. Saya mulanya mendengar tazkirah macam biasa sahaja, tetapi terpegun apabila mendengar penyampai tazkirah tersebut ialah Timbalan Menteri Besar,” ujarnya.

Yahya Harun dari Kampung Sireh, dekat sini turut merakamkan ucapan tahniah kepada Manis fm kerana menyediakan rancangan tersebut.

Menurutnya tazkirah tersebut wajar dikembangkan pada waktu lain sebagai peringatan kepada semua umat Islam. _/Harakahdaily

SALAM PERKENALAN DARI SAYA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu ribuan terima kasih buat semua pengunjung blog Kelab Pendengar Manis Fm serta para pendengar Stesyen Radio Manis Fm. Penghargaan juga buat semua pengunjung blog saya ini dan tidak lupa kepada teman yang sukarela menyediakan blog ini.

Sempena bulan Mulia Ramadhan Al-Mubarak ini, saya mengucapkan selamat berpuasa kepada Muslimin dan Muslimat dan Selamat Menyambut Hari Raya Idil Fitri. Teruskan minat anda semua berada di sisi Stesyen Radio Manis Fm Radio Swasta Terunggul di Pantai Timur. Sokongan anda terhadap kami di Manis Fm amat dihargai.

Sekian dulu, terima kasih dan salam rindu buat semua pendengar Manis Fm.