DALAM kesibukan menjadi usahawan produk kecantikan, jadual nyanyian Datuk Siti Nurhaliza tetap padat. Selain undangan nyanyian di majlis keramaian, tidak lengkap sajian program hiburan raya setiap tahun jika tidak mengundang Siti menyanyi.
Rakaman program bergelar Lebaran Diva Datuk Siti Nurhaliza itu adalah terbitan Astro dan berlangsung di Studio Satu.
Menerusi rancangan khas itu, Siti menyanyikan beberapa lagu popularnya seperti Debaran Cinta dan Bukan Cinta Biasa yang dipersembahkan dalam susunan muzik terbaru. Selain itu Siti berduet dengan Shahir dalam lagu Ketika Cinta Bertasbih.
Siti turut mendendangkan lagu bertemakan raya antaranya Air Mata Syawal serta medley Malam Bulan Dipagar Bintang, Puisi Cinta dan Indahnya Beraya Di Desa.
Shahir turut menyanyikan lagu single pertamanya, Kebahagiaan Dalam Perpisahan serta berpadu vokal dengan Akim menerusi lagu Balik Kampung dan Satu Hari Di Hari Raya. Akim juga mempersembahkan lagu solo, Inilah Cinta dan Menunggu.
Mengulas mengenai gandingan bersama bintang realiti itu, Siti memaklumkan dia tidak berdepan masalah untuk digandingkan dengan artis yang lebih muda malah penampilan peserta yang dicungkil bakat oleh Astro itu ternyata ada keistimewaan tersendiri.
"Pemilihan mereka untuk tampil dalam persembahan ini adalah menerusi perbincangan dengan Astro. Siti tidak berdepan masalah untuk menjayakan persembahan dengan artis muda seperti mereka. Ia berbeza daripada rakaman raya yang pernah Siti buat sebelum ini," kata Siti.
Tambahnya, susunan muzik yang berbeza adalah satu lagi kelainan yang ditampilkan menerusi program itu yang bakal disiarkan menerusi Astro Ria (Saluran 104) pada Aidilfitri ini. Sebelum ini, Siti turut terbabit dalam rakaman program raya bersama TV3, TV9 dan RTM.
Sementara itu Siti terus menyimpan impian mengadakan lagi konsert berskala besar. Walaupun keadaan ekonomi bertambah baik sekarang, kesukaran mendapatkan penajaan terus menjadi halangan utama kepada artis tempatan termasuklah Siti.
Pengalaman menganjurkan Konsert Satu Muzik di Istana Budaya (IB) awal tahun ini membabitkan penyanyi terkenal seperti Aizat dan Faizal Tahir memberi pengajaran betapa sokongan daripada syarikat korporat atau penaja amat diperlukan/Metro
No comments:
Post a Comment