KOBAT FM ONLINE

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

JOM JOIN FACE BOOK SAYA

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, April 5, 2010

LAGI KISAH DIN BERAMBOI

Sunyi tanpa Din


PENGHORMATAN terakhir daripada Aznil buat Din Beramboi, teman yang sudah pasti bakal dirinduinya sampai bila-bila.

MENGENALI seorang Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 44, menyimpan satu memori yang tidak dapat diucapkan.

Apa yang pasti apabila teringatkan penyampai radio, pelawak dan pengacara terkenal itu, tanpa sedar senyuman terukir di bibir. Pasti ramai yang mengenali Din sama ada secara dekat atau jauh bersetuju dengan kenyataan itu.

Pemergiannya ke rahmatullah pada pukul 12.30 pagi Jumaat lalu kerana demam denggi berdarah di Hospital Selayang, benar-benar membuatkan satu Malaysia tersentak kerana tidak menyangka allahyarham akan pergi secepat itu. Rasanya baru semalam, mendengar celotehnya di corong radio.

Selepas ini, tiada lagi gurau senda dan gelak tawanya. Apa yang tinggal hanyalah kenangannya yang membikin hati setiap insan terisi dengan tawa.

Terlalu baik

Kesedihan untuk melepaskan teman yang selalu menemaninya setiap pagi di segmen Riuh Pagi Era di stesen radio Era amat dirasai pengacara dan penyampai radio Aznil Nawawi.

Katanya, lelaki yang telah dikenalinya sejak 17 tahun yang lalu itu merupakan seorang rakan yang terlalu baik kerana beliau sentiasa membuatkan semua orang gembira.




"Pernah satu ketika saya sedang sedih, Din datang dan terus buat lawak. Saya pun tegur dia bukan setiap masa kita boleh berlawak. Din kata balik: "Nil kau ingat kalau kau sedih masalah kau boleh selesai?

"Disebabkan seekor nyamuk, saya kehilangan seorang rakan baik bernama Din Beramboi yang merupakan 'ubat' kesedihan saya. Sepanjang mengenalinya saya tidak pernah lihat dia sakit kecuali, batuk-batuk kecil sahaja," ujar Aznil.

Tambah Aznil, sepatutnya segmen pagi di stesen radio tersebut hanya dikendalikan oleh Din seorang sahaja.

Namun, dia telah menghantar surat tawaran untuk bekerja pada waktu pagi apabila Din meminta untuk menemaninya.

"Pada mulanya dia tidak mempunyai keberanian untuk bekerja seorang diri dan minta saya temankan dia. Saya pula kata yang saya ini tidak boleh bangun pagi. Akhirnya, saya menjadi teman sekerjanya dan kami sungguh serasi di konti.

"Masa dia mula kerja di Era dia tidak ada kerja tetap, malahan dia juga pernah jual kek pisang. Bukan itu sahaja, dia juga ada buat pelbagai kerja. Dia memang seorang yang sangat rajin," tuturnya.

Meskipun populariti yang menyinari perjalanan kerja seni allahyarham agak lewat tiba, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rezekinya agak melimpah ruah.

Bagaimanapun, impiannya untuk berdiri di atas pentas menerima anugerah tidak tercapai kerana allahyarham lebih disayangi Allah.

"Saya pernah menggelarkan dia pengacara kedai kopi semasa Anugerah Bintang Popular kerana mengacarakan program itu ketika majlis itu berhenti untuk iklan.

"Din Beramboi kata pada saya: "Kau okeylah, duduk bawah sebab tercalon untuk dapat anugerah. Sejak itu, Din berusaha untuk untuk mendapatkan impiannya.

"Alhamdulillah, tahun ini dia tercalon dalam senarai Anugerah Bintang Popular tetapi apakan daya dia sudah tiada," luah Aznil sedih.

Perubahan


TINGGAL memori. Kolaborasi mantap tiga juri Raja Lawak musim keempat, (dari kiri) Bob Lokman, Din Beramboi dan Afdlin Shauki.

Walaupun, meninggal dunia dalam masa yang begitu cepat tetapi seorang rakan baik Din iaitu Bob Lokman yang terlibat sama sebagai juri dalam program Raja Lawak musim keempat bersama Din mula menyedari perubahan rakannya itu.

Namun, dia tidak menyangka segala pesanan dan kata-kata serius yang dituturkan merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

"Din pernah cakap Alex boleh gantikan tempatnya di radio Era ketika Final Raja Lawak baru-baru ini. Bila terkenang balik rupa-rupanya Din memang nak pergi tinggalkan kita.

"Antara perkara pelik yang saya perasan dekat Din ialah semasa final program Raja Lawak, dia menjadi seorang yang serius tidak seperti malam-malam sebelum itu," ceritanya.

Jelasnya lagi, sungguhpun ada sesetengah orang menganggap lawak yang dibikin Din agak merapu tetapi tidak bagi Bob Lokman. Baginya lawak Din berdiri di kelasnya yang tersendiri.

"Lawak Din Beramboi berbeza daripada lawak orang lain kerana lawaknya kelihatan berani. Orang yang tak kenal dia memang cakap dia merapu tetapi hakikatnya Din Beramboi seorang yang serius.

"Memang Din merapu tetapi dia merapu bijak. Itu membezakannya dengan orang lain. Bagi Din, dalam hidupnya dia akan sentiasa buat lawak demi melihat orang lain ketawa," bicara Bob Lokman.

Istimewa

Seorang lagi rakan rapat Din Beramboi yang dihambat kesedihan impak kehilangan seorang rakan yang sangat istimewa ialah pengarah dan pelakon Afdlin Shauki. Malah, dia hampir hilang kata-kata.

Tatkala dihubungi sehari sebelum pemergian Din, Afdlin ketika itu sudah tidak mampu menjawab sebarang panggilan telefon apatah lagi jika mahu disoal berkenaan kondisi Din yang waktu itu berada dalam keadaan kritikal.

"Din Beramboi merupakan seseorang yang berkerja untuk keluarga dan merupakan seorang yang kuat. Sepatutnya kami akan memulakan pengambaran pada minggu depan tetapi Din sudah pergi.

"Selepas raya ini juga sepatutnya kami akan memulakan penggambaran filem Along Bukit Beruntung yang watak utamanya akan dilakonkan oleh Din Beramboi," ungkap Afdlin yang merupakan antara orang terawal menghebahkan penyakit Din di laman sosial Facebook dan Twitter.

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Taman Ehsan, Kepong, Jumaat lalu. Beliau meninggalkan seorang balu, Suhaini Che Man dan tiga orang anak yang masing-masing berumur antara 18, 16 dan enam tahun.

Sepanjang kerjaya Din Beramboi, selain menjadi penyampai radio di radio Era, beliau pernah membintangi beberapa buah sitkom dan telefilem.

Bagaimanapun, semua watak yang diberikan kepadanya hanyalah watak sampingan. Namun, sedang angan-angannya untuk memegang watak utama bakal menjadi kenyataan apabila ditawarkan watak utama menerusi Ah Long Bukit Beruntung, Din Beramboi pergi dulu meninggal kita semua.

Malah, mulai 23 Februari lalu Din juga telah muncul dalam programnya sendiri yang berjudul Wuhai Beramboi melalui saluran Warna di Astro.

Dalam satu temu bual yang diadakan bersamanya sekitar Februari masih terngiang-ngiang kata-kata di telinga: "Saya rasa kini saya boleh berbangga dengan konsep lawak jenaka yang saya ketengahkan. Esok atau lusa kalau saya sudah meninggal dunia, mungkin orang akan ingat dengan konsep lawak sebegini."/Kosmo

No comments:

Post a Comment