KOBAT FM ONLINE

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

JOM JOIN FACE BOOK SAYA

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, May 31, 2010

Pontianak balai polis

Alias@hmetro.com.my
2010/05/31

BETONG: Kelibat wanita berpakaian putih dan berambut panjang yang dikaitkan dengan pontianak didakwa sering mengganggu anggota dan pegawai polis bertugas pada waktu malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baru Betong di sini, sejak sebulan lalu.

Ia berlaku beberapa hari selepas IPD berkenaan berpindah ke lokasi barunya iaitu kira-kira dua kilometer dari Jalan Kuek Huat Wee bersebelahan Stadium Betong, April lalu. Betong terletak kira-kira 150 kilometer dari Kuching.

Sejak itu, satu demi satu kejadian menyeramkan dialami anggota bertugas apabila mereka mendakwa ternampak wanita misteri dalam lokap di IPD baru berkenaan.

Malah, kejadian itu berlarutan beberapa hari selepas itu dengan anggota lain turut mendakwa melihat kelibat lembaga terbabit ‘menyamar’ rakan setugas mereka.

Menurut sumber, lembaga terbabit kelihatan berlegar-legar di IPD itu namun tidak menjawab apabila ditegur.

“Wajahnya sama dengan seorang anggota bertugas di sini. Apabila ditegur untuk diberikan tugas seperti diarahkan pegawai atasan, ‘anggota’ terbabit hanya mendiamkan diri,” katanya.

Beliau berkata, anggota polis berkenaan hanya menyedari jelmaan itu selepas menghubungi rakannya untuk memaklumkan tugas yang perlu diselesaikan.

“Kejadian seumpama itu kerap berlaku sejak IPD berpindah ke sini. Ada anggota polis memberitahu ketika bertugas pada waktu malam, mereka diganggu seorang wanita yang menjelma dengan berpakaian serba putih dan berambut panjang.

“Malah, ia turut dilihat berada di kerusi pegawai atasan dan ada anggota hampir pengsan apabila mereka disergah makhluk halus itu,” katanya.

Dalam kejadian terbaru minggu lalu, seorang anggota penyiasat hampir pengsan dan terpaksa melompat dari tingkap dua bangunan berkenaan selepas melihat lembaga itu berdiri di depannya.

“Ketika itu, saya hendak keluar dan mengunci pintu kaca di pejabat. Tiba-tiba saya nampak seseorang berlari di belakang saya. Saya nampak jelas menerusi pintu kaca dan terus beristighfar. “Ketika mahu membuka suis lampu berdekatan, tiba-tiba lembaga itu berdiri di depan saya dengan rambut berjuntai ke lantai,” katanya.

Difahamkan, pihak IPD terpaksa mendapatkan khidmat seorang ustaz untuk ‘menangkap’ lembaga terbabit.

Menurutnya, ustaz berkenaan memaklumkan lembaga terbabit ‘tidak tenteram’.

“Kami dimaklumkan, tempat ini pernah menjadi tempat pembunuhan yang menyebabkan lembaga itu melakukan gangguan. Ketika hayatnya, lembaga itu dipercayai dirogol dan dibunuh di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan, Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, tiga anggotanya diganggu lembaga itu sejak bulan lalu dengan kali terakhir berlaku minggu lalu.

“Saya akui perkara ini berlaku dan kami sudah berikhtiar untuk memulihkan keadaan. Kami memanggil seorang ustaz dengan harapan ia tidak berulang,” katanya.

Sunday, May 30, 2010

TERLALU SEKSI - ROZITA MOHON MAAF

Bukan sengaja

Oleh ISMA ISMAIL
isma@hmetro.com.my
2010/05/30

KUALA LUMPUR: “Saya mohon maaf di atas ketelanjuran saya berpakaian pada malam itu,” kata pelakon jelita, Rozita Che Wan, mengulas kontroversi yang mencetus perdebatan dalam laman blog hiburan serta ruangan gosip di media cetak.

KONTROVERSI...Rozita bersama artis yang hadir pada Konsert Akhir AF8.
KONTROVERSI...Rozita bersama artis yang hadir pada Konsert Akhir AF8.

Justeru, dia berharap tidak perlulah semua pihak memperbesar atau mensensasikan isu terbabit.

“Saya tak nak komen banyak-banyak mengenainya,” katanya dalam kenyataan melalui SMS kepada Metro Ahad ketika diminta mengulas isu skirt pendek yang dipakainya ketika menghadiri Konsert Akhir Akademi Fantasia Kelapan (AF8).

Isu berkenaan mula tercetus apabila gambar Rozita bersama seorang lagi pelakon, Azza Elite, duduk dengan keadaan seksi disebabkan skirt dipakainya agak singkat, tersebar dalam beberapa blog hiburan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi, tambahan pula pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah, itu, menunaikan umrah baru-baru ini.

Ada yang mendakwa pakaiannya dengan skirt pendek paras atas lutut hingga menampakkan paha putihnya itu dan Azza Elite yang juga berskirt singkat amat tidak sesuai kerana konsert berkenaan dihadiri ramai remaja.

Mengenai isu berkenaan yang sengaja disensasikan, terutama di blog hiburan, Rozita berkata, ia hak sesiapa untuk menulis apa yang mereka mahu.

Menurutnya, dia juga bukan sengaja mahu menunjukkan pakaiannya pada malam itu, apatah lagi untuk dirakamkan gambarnya untuk tontonan umum, terutama di Internet. “Ketika jurugambar nak ambil gambar saya malam tu, saya dah tanya, nampak peha tak? Dia jawab close-up saja...tak sangka pula jadi macam ini, apapun saya minta maaf di atas ketelanjuran saya berpakaian.

“Saya tahu ramai (wartawan) yang cari saya untuk minta komen mengenai isu itu. Saya malas nak cakap apa-apa lagi...lagi pun benda tak elok tidak payah nak diperbesarkan,” katanya.
Rozita yang kerap dikaitkan dengan orang kenamaan mengumumkan dia bakal menamatkan zaman jandanya dengan seorang pemuda yang kini berkhidmat di sektor perbankan di Singapura.

Ibu kepada dua anak, Ammar Effendy, 14, dan Aniq Ezzra, 12, bakal berhenti daripada lakonan kerana mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan dan anak.

Difahamkan, pelakon itu menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah sekali lagi pada Ramadan nanti./Metro

Thursday, May 27, 2010

AF di mata khalayak



APAKAH nilai AF sekarang? Impaknya tidak lagi sehebat zaman kegemilangannya. Jika dulu program realiti nyanyian terbitan Astro, Akademi Fantasia (AF) berjaya memberi kesan kepada hampir setiap penontonnya, kini pada musim kelapan, efeknya semakin pudar.

Ada yang menonton sekadar mengikut perjalanan program itu selepas menontonnya selama tujuh musim. Tidak kurang yang menjadi audiens kerana mengharapkan keajaiban. Namun, polar penontonnya bukan lagi seperti dahulu.

Mereka tidak lagi menonton AF sebagai satu aktiviti kemestian pada hujung minggu. Mereka sudah tidak kisah apa yang berlaku. Itu satu situasi yang amat berbeza jika dibandingkan dengan AF musim-musim sebelumnya.

Ketika itu, AF merupakan nadi program hiburan utama negara. Setiap inci mengenai AF menjadi perbualan hangat. Bahang itu tidak dirasai lagi walaupun pada konsert terakhirnya yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Mengakui persembahan terakhir kelima-lima finalis Muhd. Shahril Firdaus Eli (Daus), Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), Muhd. Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), Ahmad Shahirb Zawawi (Shahir) dan Siti Adira Suhaimi (Adira) lebih menghiburkan.


CUBA NASIB. Saban tahun ramai anak muda menghadiri uji bakat program ini.

Akan tetapi mood serta keterujaan di stadium tidak begitu dirasai. Entah di mana silapnya, program yang mengangkat Shahir sebagai juara dengan menguasai jumlah undian 43.19 peratus itu pada mata pandangan ramai - gagal.

Mencatatkan jumlah undian 3.75 juta untuk keseluruhan musim, angka itu mencatatkan kemerosotan berbanding tahun lalu yang berjaya meraih 3.9 juta undian. Dari segi rating secara purata bagi keseluruhan musim, AF8 juga mencatatkan penurunan yang ketara berbanding tahun lalu.

Faktor memecahkan konsert mingguan serta Debaran AF yang mengumumkan keputusan penyingkiran kepada dua hari berlainan dikatakan menjadi salah satu punca yang menyumbangkan kepada kemerosotan AF8.

"Perubahan itu sebenarnya mendapat pandangan berbeza. Ada yang suka dan ada yang tidak. Ini kerana mereka sudah biasa menyaksikan keputusan pada malam yang sama. Jadi titik perubahan ini akan dinilai semula pada musim akan datang," kata Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi.

Pandangan itu disokong oleh Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah. Katanya: "Setiap perubahan ada risikonya tersendiri. Kita tahu jenama AF perlukan pembaharuan. Selepas ini, produksi masih akan terus mengambil risiko.


TSUMAWI. Begitu gelaran yang diberikan kepada para penyokong bekas juara AF3, Mawi.

"Kita tidak buat salah dengan pembaharuan. Sebagai satu jenama yang sudah kurang momentumnya, perubahan perlu dilakukan. Kelainan itu pula datang dengan risiko. Kami mahu pecah tradisi dengan menarik penonton pada hari Ahad."

AF bakal diteruskan

Sungguhpun mencatatkan penurunan dari segi jumlah penonton dan khidmat pesanan ringkas (SMS), Zainir tidak menganggap AF8 satu kegagalan. Entiti AF itu sendiri sudah cukup kukuh terutama dalam konteks program hiburan tempatan.

"Mungkin disebabkan pecahan konsert dan debaran, ia telah memecahkan jumlah penonton. Tapi jika ditambah dengan semua episod yang berkaitan dengan AF termasuk diari, konsert dan debaran, jumlahnya amat memberangsangkan.

"Kalau diambil kira jumlah penonton pada hari konsert sahaja, ia memang kurang kerana banyak kali ia diganggu oleh program besar lain seperti pertandingan bola. Mungkin ia memberi kesan negatif kepada konsert.

"Tetapi secara keseluruhan, AF8 tetap sukses. Memang musim kelapan ini merupakan cabaran bagi kami tetapi AF masih kekal nombor satu. Walaupun dikritik dan mempunyai kelemahan, ia masih berjaya membantu Astro dari segi jualan," katanya.


ZAMAN KEGEMILANGAN. Lebih 10,000 penonton membanjiri pekarangan Pentadbiran Putrajaya untuk menonton AF musim ketiga.

Bersetuju bahawa AF8 atau AF7 tidak berjaya mengulangi kejayaan seperti AF2 atau AF3, Zainir juga memberitahu bahawa sebagai sebuah program yang sudah berlangsung selama lapan musim, mungkin ramai yang sudah penat. Jadi persoalan sama ada musim kesembilan akan diterbitkan timbul.

"Itu semua belum ditentukan lagi. Tapi jika dilihat segi strategi bisnes, ia masih berjaya. Maka, ia tidak wajar untuk dihentikan. Apa yang perlu dilakukan adalah memperbaiki. Mungkin kami akan mengubah jadual siaran atau membuat perubahan lain," jelas Zainir lagi.

Selain aspek perubahan yang dilakukan, ada pihak juga menyatakan penukaran hos AF sedikit sebanyak menyumbang kepada populariti program tersebut.

"Sarimah Ibrahim pernah mengacarakan Diari AF selama dua musim. Jadi kami memilih dia kerana ramai yang menanti-nantikan dia sebagai hos utama.

"Jimmy Shanley pula berjaya sebagai hos program Trek Selebriti selama enam musim. Mungkin dia masih baru dengan AF tetapi ini merupakan cabaran baru buat dia. Kalau tidak sampai bila dia hendak beranjak ke depan?," terang Azlin.

Bagi pengetua AF8, Norman Abdul Halim, dia menerima segala pujian dan kritikan. Baginya, AF akan menjadi platform kepada pelajarnya untuk melancarkan karier.

Menariknya, bagi AF kali ini, kesemua finalis mempunyai genre kesukaan masing-masing. Perbezaan itu membuatkan keseluruhan AF lebih berwarna-warni.

Cuma yang menjadi persoalan adalah mengapa kesemua lagu-lagu akhir yang dicipta untuk peserta merupakan hasil kerja Edry KRU.


ADAKAH pada tahun akan datang masih ramai yang ingin menyertai AF?

Jawab Norman: "Pilihan lagu sebenarnya bukan terletak atas tangan saya. Kami ada satu pasukan khas yang mendengar lebih 30 buah lagu baru. Mereka memainkan lagu tanpa mengetahui siapa penulis dan penggubahnya.

"Kemudian lagu-lagu dipilih mengikut kesesuaian pembawakan serta genre masing-masing. Bila saya menjadi pengetua, ia tidak bermaksud saya mahu membelot semua.

"Dari awal lagi saya menyatakan saya memang mahukan bantuan daripada Edry dan Yusry. Mereka membantu saya dari segi penilaian dan kualiti. Bukan senang untuk menghasilkan lagu dan klip video dalam masa singkat."

Tidak kira apa pandangan umum mengenai edisi kelapan AF, barometer Astro menyatakan program itu sukses. Maka, perjuangan AF setakat ini dilihat tidak akan terhenti sebegitu sahaja.

Landasan hiburan yang pernah mencipta fenomena itu disimpulkan berakhir dengan melahirkan seorang lagi bintang baru dalam industri. Cuma adakah Shahir akan mengikuti jejak langkah juara lain yang berjaya atau sebaliknya. Kita tunggu dan lihat./Kosmo

Monday, May 24, 2010

KEPUTUSAN UNDIAN DJ PILIHAN SIRI 2 - MARI MENGUNDI DJ PILIHAN SIRI 3 PULA

KEPUTUSAN Poll `DJ Pilihan Anda' Siri 2 kali ini menyaksikan kejutan. Kejutan kali ini memperlihatkan DJ genit `Penguin' @ Ayu melompat ke tangga kedua. Beliau mendapat 20 % undian menewaskan DJ yang lebih senior iaitu DJ Amiey yang menduduki tempat ketiga dengan peratusan 12 %. Di dalam pungutan Siri 1 sebelum ini, tempat kedua adalah milik DJ Ira Fatiran dan DJ Amiey di tempat ketiga.

DJ Aiman, DJ popular di Manis FM yang ke udara mulai jam 1200 tgh mlm sehingga jam 0600 pagi nampaknya masih belum dapat digugat. DJ Aiman atau Wok Yoh ini terus unggul di tempat pertama dua kali berturut-turut.

Mungkinkah pada pungutan Siri 3 nanti akan berlaku perubahan? Semuanya bergantung kepada anda sendiri. Berikut adalah kedudukan penuh pungutan undian anda bagi Siri Ke 2 kali ini.

1. DJ Aiman - 44 %
2. DJ Ayue - 20 %
3. DJ Amiey - 12 %
4. DJ Ira Fatiran - 8 %
5. DJ Uncle Wan/DJ Ewan Slumber/DJ Abe Nor/DJ Iza (4 %)

Keputusan Siri 1 Yang Lepas:

Pilihan Pertama: DJ Aiman
Pilihan Kedua: DJ Ira Fatiran
Pilihan Ketiga: DJ Amiey

Saturday, May 22, 2010

TERKINI - SHAHIR JUARA AF 8

Shahir pengganti Mawi?



TEKA-TEKI siapakah yang bakal merangkul gelaran juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) bakal terjawab malam ini. Bermula daripada 12 orang peserta kini, pelajar <AF8 hanya tinggal berlima apabila Ain menjadi pelajar terakhir disingkirkan daripada program itu pada minggu kesembilan.

Penyingkiran Ain, meletakkannya bersama barisan pelajar yang telah tersingkir iaitu Zafarina Jamhari (Farina), Nadia Emilia Roselan (Nad), Muhammad Alid Kadim (Alif), Dayang Nor Anum Arjuna Aharun (Anum) Ema Suhaimi (Ema) dan Muhammed Shahril Mohd. Salleh Hussein (Shah).

Didominasi oleh empat peserta lelaki Ahmad Shahir Zawawi (Shahir), Muhd. Shahril Firdaus Eli (Daus), Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan) dan Muhd Firdaus Maulana Mohamed (Maulana) dan pelajar dari Ranau, Sabah, Siti Adira Suhaimi (Adira) menjadi satu-satunya peserta wanita yang bakal bersaing pada final AF8.

Mampukah Adira melawan penguasaan lelaki dan meraih undi dengan vokal serta kelembutan wajahnya? Jika dinilai daripada segi bakat, Adira tiada kurangnya. Dia mampu menyanyi dengan baik dan persembahannya agak konsisten berbanding pelajar yang lain.


LIMA finalis bakal berentap pada final AF8 (dari kiri), Maulana, Iwan, Shahir, Daus dan Adira.


Masih teringat alunan vokalnya ketika menyanyikan lagu asli yang benar-benar cocok dengan dirinya. Waktu itu, penonton dan juri tergamam dek persembahannya yang memukau walaupun juri tetap Adlin Aman Ramlie memberi komen supaya jangan terlalu banyak bergerak di pentas sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap lontaran vokal.

Kalau dilihat pula daripada segi pola undian, jika seluruh Sabah mengundi Adira, tidak mustahil dia akan diangkat sebagai juara wanita yang baru selepas Stacy dan Mila.

Maulana, jejaka berusia 22 tahun dan berasal dari Johor Bahru dilihat sangat sinonim dan obses dengan genre muzik jazz. Memang itulah muzik yang bakal diusungnya setelah bergelar penyanyi kelak.

Dalam konsert mingguan, Maulana juga tidak segan dan tidak jemu mendendangkan muzik jazz yang secara realitinya di Malaysia, tidak mempunyai penggemar yang ramai berbanding muzik rock, pop dan balada.

"Saya akan setia dan terus bersama muzik jazz walaupun saya tahu agak sukar untuk peminat di Malaysia menerimanya. Saya harap, saya bakal membawa satu pembaharuan dalam industri muzik selepas saya keluar daripada AF," katanya dalam satu temu ramah di belakang pentas.

Semangat kental itulah yang dipuji, meskipun belum bergelar artis rakaman, Maulana tahu apa yang diinginkan dalam kerjayanya kelak dan ia disokong oleh pengetua AF8, Norman Abdul Halim.

"Saya suka dengan pelajar yang tahu apa yang mereka inginkan daripada awal, jadi tidak sukar dan membuang masa untuk melakukan eksperimen terhadap mereka. Inilah pelapis penyanyi yang saya rasa bakal memberi satu perisa yang baru dalam industri muzik kita," ujar Norman semasa sidang media program Debaran AF8 minggu kesembilan hujung minggu lalu.


ADIRA satu-satunya peserta wanita yang berjaya ke final AF8.

Bercakap tentang Iwan dan Daus pula, walaupun kedua-dua mereka sering dikritik oleh juri tetap dan juri undangan seperti Adibah Nor yang kategorikan suara mereka pada tahap biasa-biasa sahaja tetapi jangan dipandang sebelah mata populariti mereka berdua.

Sentiasa berada di tempat yang selamat membuktikan, mereka berdua telah berjaya mengumpul asas peminat yang kukuh, meskipun Iwan sering mempunyai masalah dengan suaranya yang tidak keluar.

Jelas Norman, Iwan mempunyai pakej untuk diminati oleh remaja walaupun sepanjang AF8 berlangsung, beberapa kali Iwan mempunyai masalah sakit tekak.

Daus juga mempunyai kelompok peminat tersendiri, jejaka kelahiran, Kuching, Sarawak ini sering membawakan lagu-lagu daripada band-band popular tanah air dan luar negara.

Pada persembahannya di minggu kesembilan, Daus tetap membawakan lagu bergenre pop rock, berjudul Masa daripada band Estranged dan Mission Impossible yang dipopularkan oleh Limp Bizkit.

Bagaimanapun daripada mereka berlima kelebihan dilihat lebih berpihak kepada Shahir pelajar yang tersingkir pada minggu ketujuh dan diserap semula melalui undian AF masuk.

Pelajar kelahiran Ipoh, Perak itu mempunyai pakej yang lengkap, rupa dan suara yang baik antara penyebab pengetua AF8 meramalkan Shahir sebagai juara AF8 di samping Adira.

"Shahir menjadi pelajar kegemaran dalam AF8, lihat sahajalah sorakan penonton ketika konsert dan dalam ramai-ramai pelajar mengapa dia yang dipilih penonton untuk undian AF masuk.

"Shahir telah mempunyai peminatnya yang tersendiri, tidak kiralah bagaimana bentuk persembahnnya, dia tetap meraih sokongan yang tidak berbelah bagi daripada peminatnya," kata Norman.


SHAHIR bakal mencipta sejarah sebagai peserta AF pertama yang diundi keluar berjaya meraih juara AF, jika berjaya bergelar juara AF8.


Mungkin ada betulnya juga apa yang Norman katakan, cuba kita imbas kembali sejarah yang berlaku pada penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi. Dia juga pernah diundi keluar dan juga diundi masuk, seterusnya dinobatkan sebagai juara, cuma yang membezakan Shahir dan Mawi ada cerita-cerita panas yang muncul sebelum detik Mawi bergelar juara.

Menyentuh tentang persembahan pelajar di final AF8, Norman menyerahkan segala gimik dan tarikan persembahan kepada pihak produksi.

"Tugas saya dan guru-guru lain memastikan para pelajar bersedia apabila mereka berada di atas pentas. Pemilihan lagu pula, kami akan memberi lagu yang kena dengan jiwa setiap pelajar.

"Kalau yang suka jazz kita akan bagi lagu bergenre jazz. Walaupun lagu itu sebenarnya rock atau pop, kita akan bikin lagu itu menjadi jazz, begitulah juga dengan yang lain," terang Norman lagi.

Siapakah bakal bergelar juara? Jawapannya hanya terletak di tangan pengundi. Buat peminat dan penonton yang ingin menyaksikan final AF8 secara langsung, jangan lupa saksikan konsert akhir AF8 malam ini, 22 Mei, di Stadium Putra Bukit Jalil, pukul 9 malam.

Bagi penonton yang ingin menyaksikan dari kaca televisyen, buat julung kalinya final AF akan disiarkan secara langsung menerusi teknologi High Definition (HD) di saluran 124.

Tuesday, May 18, 2010

DJ AYUE SEMAKIN MENGGUGAT !!

Salam ukhwah. Nampaknya DJ Ayue @ Penguin semakin diminati. Syabas kepada DJ Ayue yang pada saya jelas semakin matang dan kreatif sewaktu menjalankan tugas. Saya sedar semenjak awal kemunculan beliau di Stesen Radio Manis FM, DJ yang kecil molek ini sering dikritik oleh pihak pengurusan. Namun, berkat kesabaran serta sikapnya yang ingin berubah beliau kini semakin menggugat rakan-rakan setugasnya yang lain.

Sewaktu tulisan ini saya nukilkan, DJ Ayue berjaya menempatkan dirinya di tempat kedua dengan peratusan undi 17 %, manakala DJ Amiey pula dengan 13 % menduduki tempat kedua di belakang DJ Aiman yang terus mengungguli di tempat pertama. DJ Aiman pada Poll yang lepas juga menduduki tempat teratas selaku DJ pilihan pengunjung blog ini.

Saingan hebat buat DJ Ayue dan DJ Amiey tentunya datang dari DJ bersuara merdu iaitu DJ Ira Fatiran yang pada Poll yang lepas menduduki tempat kedua. Namun demikian, keputusan ini belum muktamad dan anda masih mempunyai masa untuk mengubah atau mengekalkan kedudukan ini. Teruskan bersama Manis FM, Kicap pun kicaplah!!

Monday, May 17, 2010

BEKAS PENYANYI ROCK ROTAN DAN PUKUL ANAK?

Oleh Salman Halmat

2010/05/17

TANGKAK: Akibat merotan dan memukul anak perempuannya atas alasan mengajar kerana berang apabila remaja itu enggan bersalam dengannya, bekas vokalis kumpulan rock yang popular pada 1990-an ditahan reman empat hari mulai Jumaat lalu.

Dalam kejadian di rumah isterinya di Tanjung Agas di sini, Isnin minggu lalu, penyanyi itu datang melawat anaknya yang tinggal bersama isteri selepas pasangan itu tinggal berasingan berikutan masalah rumah tangga.

Bagaimanapun, hasrat penyanyi berkenaan bertemu anaknya menjadi pengalaman buruk apabila berlaku pertengkaran sebelum penyanyi kumpulan rock itu memukul anaknya.

Sementara itu, remaja berusia 16 tahun berkenaan yang mendakwa ‘ajaran’ oleh bapanya terlalu kasar, memberitahu ibu sebelum mereka membuat laporan polis.

Menurut sumber, hasil laporan itu, sepasukan polis menahan penyanyi rock berkenaan di rumahnya di Jalan Lama, Muar, kira-kira jam 2 pagi Jumaat lalu. “Suspek direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan kes memukul remaja terbabit. “Kes di siasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000,” katanya.

Difahamkan, selepas membuat laporan polis, mangsa ditemani ibunya ke Hospital Tangkak untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengesahkan kesan dirotan serta pukul selain mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, kecederaannya tidak serius dan remaja itu dirawat sebagai pesakit luar.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan penahanan penyanyi rock terbabit dan kini menunggu arahan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) sebelum tindakan lanjut termasuk kemungkinan mendakwa penyanyi itu./Metro

Thursday, May 13, 2010

TELEKONG BERDIRI LAGI, KINI DI PORT DICKSON PULA

Ibu tunggal terkejut lihat telekung 'bangun'


AZIZAH menunjukkan keadaan telekong yang duduk seperti orang bersolat di rumahnya di Bandar Sunggala, Port Dickson semalam.

PORT DICKSON - "Selepas memakai kain sarung saya terkejut melihat telekung yang sebelum ini dalam keadaan berlipat, telah duduk seperti orang sedang bersolat."

Demikian cerita seorang ibu tunggal, Azizah Jalil, 61, ketika hendak bersolat Asar di rumahnya di Bandar Sunggala di sini pada pukul 5 petang Selasa lalu.

Sebelum itu menurut Azizah, pada sebelah malamnya, dia bermimpi berada di sebuah tanah perkuburan Islam di Mekah sebelum menunaikan solat di Masjidil Haram.

"Sejak kejadian itu, saya tidak berani untuk mengusik atau mengalihkan telekong ini. Mungkin ini satu petunjuk daripada Allah dan saya tidak tahu kenapa saya dipilih untuk mengalaminya," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam./Kosmo

Monday, May 10, 2010

TERIMA KASIH, KUNJUNGAN KINI MELEBIHI 2, 500

TERIMA KASIH. Itu sahaja yang dapat ku ucapkan kepada anda semua yang sudi mengunjungi blog ini. Mulai 09 September 2009 sehingga kini, kunjungan ke blog ini telah pun melebihi 2, 500 kali. Meskipun blog ini mulanya dibina untuk mempromosikan Stesen Radio Manis FM sewaktu aku bertugas di sini, tetapi blog ini terus diaktifkan walaupun aku tidak lagi bersama Manis FM.

Ini adalah kerana aku terlalu menyayangi Stesen Radio ini yang telah banyak mengajarku. Aku juga tidak mahu berpisah dari rakan2 di Manis FM serta para pendengar setia radio ini. Terima kasih buat semua yang telah banyak membantuku selama ini. Terima kasih.

Saturday, May 8, 2010

PESANAN BUAT TEMANKU DJ AIMAN

Aku sering mengikuti siaran Manis FM terutamanya di tengah malam. Maklumlah waktu siang aku agak sibuk sikit walaupun masih belum bekerja sepenuh masa. DJ bertugas di tengah malam kebiasaannya adalah kawan rapat aku DJ Aiman. Kadangkala aku dapat merasakan beliau bertugas dalam situasi yang kurang selesa. Aku tahu beliau sering mengalami gangguan kesihatan sejak mula aku kenal beliau. Jika dulu, aku sering menggantikan tugas beliau jika beliau mengadu kurang sihat.

Aku harap DJ Aiman dapat menjaga kesihatannya dengan baik. Tugas tetap tugas tetapi kesihatan itu jangan diabaikan. Walau bagaimanapun, syabas diucapkan buat DJ Aiman kerana dalam keadaan macam mana pun, beliau sedaya upaya akan cuba menghiburkan para pendengar. Aku rindu pada mu, sahabat!!

Tuesday, May 4, 2010

MENGAPA JADI BEGINI, IBU?

Adik cuma nak tanya ibu, kenapa begini jadinya? cinta Feb

Bu, adik Cuma ingin bertanya…

Rasanya ibu tak akan mampu menjawabnya...

Ibu ingat 14 feb tak
Malam tu ibu ada janji temu
Ibu jumpa jejaka tu
Ibu kata dia cintakan ibu

Benarkah bu?

Dia puji dan puja ibu
Dia rayu dan belai ibu
Katanya cintanya hanya untuk ibu

Benarkah bu?


Ibu terkhayal dengan bujukannya
Ibu terbuai dalam bicaranya
Ibu terlena oleh bisikannya
Benarkah bu?

Ibu tak kisah dia peluk ibu
Ibu izin dia sentuh jasad ibu
Ibu puas dapat buktikan setia ibu
Macam dia kata.. mahu bukti cinta dari ibu
Tapi benarkah bu?

Masa berlalu,
Hari ini lepas 9 bulan...
Pohon yang ibu dan lelaki tu tanam telah membuahkan hasil
Hari ini buah cinta kalian telah terzahir
Hari ini bukti kasih jejaka itu pada ibu telah lahir...
tapi benarkah bu?


Kenapa dia tidak sama menyambut kami?
Kemana dia telah pergi tidak azankan kami?
Mengapa ibu pun benci kami?
Sedangkan inilah semaian tanda cinta kalian?

Mengapa ibu?


Tak terasakah sakit dan perit
tak berbakikah kasih dan sayang dan
Tidak lagi kah ibu berTuhan?

Benarkah ibu?
Benarkah begitu?

adik cuma nak tanya je bu.....

Renung renung kanlah !!!

-Bila seronok, aku cari....
pasanganku
-Bila sedih, aku cari....
Mak
-Bila berjaya, aku ceritakan pada....
pasanganku
-Bila gagal, aku ceritakan pada...
.Mak
-Bila bahagia, aku peluk erat....
pasanganku
-Bila berduka, aku peluk erat....
Emakku
-Bila nak bercuti, aku bawa....
pasanganku
-Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah....
Mak
-Bila sambut valentine.. Aku bagi hadiah pada
pasanganku
-Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan
"Selamat Hari Ibu"
-Selalu.. aku ingat
pasanganku
-Selalu....
Mak ingat kat aku
-Bila-bila... aku akan talipon
pasanganku
-Entah bila... aku nak talipon
Mak
-Selalu...aku belikan hadiah untuk
pasanganku
-Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk
Emak
-Renungkan:
-"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja...
-bolehkah kau kirim wang untuk
Mak?
-
Mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".

-Berderai air mata jika kita mendengarnya........

-Tapi kalau Mak sudah tiada..........
-
MAKKKKK...RINDU MAK.... RINDU SANGAT....

-Berapa ramai yang sanggup
menyuapkan ibunya....
-berapa ramai yang sanggup
mencuci muntah ibunya.....
-berapa ramai yang sanggup.
mengantikan lampin ibunya.....
-berapa ramai yang sanggup.....
membersihkan najis ibunya.......
-berapa ramai yang sanggup.......
membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
-berapa ramai yang sanggup
berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....

-Dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya......

Sumber: Melalui email

Monday, May 3, 2010

Ugut bunuh Nik Aziz, lelaki ditahan

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat menyiarkan komen berbaur ugutan bunuh terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, lelaki yang berumur dalam lingkungan 20-an itu diberkas sepasukan polis di Butterworth, Pulau Pinang kelmarin.

"Sepasukan polis menahan suspek itu di satu kawasan di Butterworth pada pukul 9 malam berhubung kes penyiaran ugutan bunuh terhadap Nik Abdul Aziz," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, polis akan melakukan siasatan bagi mengetahui sama ada suspek adalah pemilik sebenar laman sosial itu dan juga individu yang bertanggungjawab menyiarkan ugutan bunuh terbabit./Kosmo

Saturday, May 1, 2010

SIAPA DJ PILIHAN ANDA?

Saya kembali untuk mengadakan Poll bagi menentukan siapakah DJ pilihan anda di Manis FM. Jika Siri 1 dahulu keputusan 3 DJ Pilihan anda adalah seperti berikut:

Pilihan Pertama: DJ Aiman
Pilihan Kedua: DJ Ira Fatiran
Pilihan Ketiga: DJ Amiey

Selera pendengar sering berubah. Maka, untuk Siri 2 kali ini apakah ranking di atas masih kekal atau berubah. Anda semua tentukan. Selamat mengundi.